Amalkan Hidup Berjiran

Saling ingat mengingati antara kita. Itulah asas dalam hidup berjiran. Kenali dan sayangi jiran kita..

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengeratkan tali persaudaraan adalah..

Bertegur Sapa

Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.

Kunjung-Mengunjung

Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.
Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.

Menghulurkan Bantuan

Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengenepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.

Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita.

Bergotong-Royong

Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balairaya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.

Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni sesama mereka.

0 comments:

Post a Comment

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.